Current Affairs

Selangor akan manfaatkan RS-1 untuk pacu asas ekonomi pada 2023

by Bernama

RS-1 yang diperkenalkan Amirudin merupakan pelan rancangan pembangunan menyeluruh yang dirangka untuk menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri pintar, makmur dan berdaya huni menjelang 2025. – Bernama

SHAH ALAM: Selangor akan memanfaatkan pertumbuhan ekonomi global yang dijangka perlahan pada 2023 sebagai peluang memperkukuh asas ekonominya sebagai sebuah negeri industri yang pesat membangun melalui Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021-2025.

RS-1 yang diperkenalkan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari pada tahun ini merupakan pelan rancangan pembangunan menyeluruh yang dirangka berpandukan strategi dan inisiatif jangka pendek, sederhana dan panjang bagi mencapai visi untuk menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri pintar, makmur dan berdaya huni menjelang 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan, Industri dan Industri Kecil dan Sederhana negeri Datuk Teng Chang Khim berkata walaupun dijangka tidak mencatat pencapaian baik pada 2023, kerajaan Selangor tetap optimis dengan mengutamakan aspek perancangan masa depan.

“Sebab itu kita perkenalkan RS-1 dan mengkhususkan pembangunan mengikut zon iaitu Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS) dan Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA),” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, perancangan pembangunan mengikut wilayah itu membolehkan pihaknya bergantung kepada kekuatan kawasan terbabit untuk memperkenalkan pelbagai insentif bagi menarik pelabur.

Selain itu, pembangunan di Selangor pada tahun depan juga bakal rancak dengan pelbagai projek termasuk inisiatif Selangor Maritime Gateway (SMG) di sepanjang Sungai Klang serta projek mega seperti pembangunan semula Stadium Shah Alam.

“Impaknya mungkin tidak (dapat dilihat) serta-merta tetapi sekurang-kurangnya kita memanfaatkan tempoh yang ada bagi membina semula atau memperkukuh lagi asas Selangor sebagai negeri industri dan membangun,” katanya.

Bagi aktiviti pelaburan, Teng berkata kerajaan negeri akan terus memberi penekanan terhadap industri tumpuan seperti sains hayat, pembuatan makanan dan minuman, pembuatan produk elektrik dan elektronik serta mesin dan peralatan yang dilihat sebagai industri yang kian pesat berkembang di Selangor.

“Sebagai tambahan, dua industri baharu iaitu perkhidmatan logistik dan pelaburan digital yang telah dikenalpasti serta berpotensi untuk melonjakkan Selangor sebagai destinasi pelaburan,” katanya.

Malah, Selangor turut mengatasi negeri-negeri lain dalam bidang perkhidmatan logistik dalam tempoh dua bulan hingga tiga bulan kebelakangan ini apabila empat syarikat luar negara mengadakan majlis pecah tanah pembangunan pusat logistik di negeri ini.

Menyentuh perkembangan projek pembinaan pelabuhan ketiga di Pulau Carey, Teng berkata projek tersebut masih dalam proses perancangan selain kajian kebolehlaksanaan yang telah dijalankan.

“Kita sudah mulakan perancangan dan laporan kebolehlaksanaan juga telah dibuat. Proses itu masih berjalan dan kita belum menentukan pelabur mana yang sesuai,” katanya yang menjangkakan kerja pembinaan pelabuhan itu dijangka bermula dalam tempoh tiga tahun hingga lima tahun lagi

Pada 2018, Menteri Pengangkutan ketika itu, Anthony Loke Siew Fook berkata pembangunan pelabuhan ketiga di Pulau Carey merupakan projek jangka panjang bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara tidak terjejas berikutan dua terminal Pelabuhan Klang iaitu Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Barat akan mencapai kapasiti maksimum menjelang 2025.

Source: Selangor akan manfaatkan RS-1 untuk pacu asas ekonomi pada 2023-astro Awani

 172 Total Page Views,  1 Views Today

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button