Current AffairsEconomicsPublic Services

SOALAN LAZIM TENTANG PENYELAMATAN (BAILOUT) LEMBAGA TABUNG HAJI

Tolong baca dengan minda yang terbuka. Jangan terlalu ber emosi dan gunakan akal untuk berfikir secara rasional. Mengapa beri ruang kepada ahli politik yang hanya pandai memanipulasikan fakta demi untuk kepentingan kareer politik masing2?

Kandungan
A: KERUGIAN TABUNG HAJI
B: PENYUMBANG KEPADA KERUGIAN TABUNG HAJI
C: SEBAB TABUNG HAJI PERLU DISELAMATKAN DAN CARA PENYELAMATAN
D: PERANAN JPM, MOF, BNM DAN SPV KERAJAAN

A: KERUGIAN TABUNG HAJI

1. Apakah masalah di Tabung Haji?
Tabung Haji (TH) telah mengalami kerugian besar semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN). Akibatnya aset TH tidak mencukupi untuk menampung liabilitinya.

2. Berapakah kerugian aset yang dialami TH?
TH mengalami kerugian sebanyak RM10.2 bilion. Ini adalah kerana nilai pelaburan aset hartanah dan syarikat yang telah dibeli oleh TH dengan kos RM19.9 bilion hanya bernilai RM9.7 bilion sahaja setakat 31 Disember 2018.

Jadual 1: Kos pelaburan TH dan harga pasaran aset tersebut pada 31 Disember 2018
Kelas aset | Kos pelaburan (RM bilion) | Harga pasaran (RM bilion) | Kerugian (RM bilion)
Hartanah 2.2 | 1.4 | 0.8
Syarikat perladangan 0.8 | 0.7 | 0.1
Ekuiti di Bursa Malaysia 16.9 | 7.6 | 9.3
Jumlah 19.9 | 9.7 | 10.2

B: PENYUMBANG KEPADA KERUGIAN TABUNG HAJI

3. Bagaimanakah kerugian dan kekurangan aset ini berlaku?
Masalah kerugian dan kekurangan aset semasa zaman kerajaan BN adalah disebabkan oleh:
• pengurusan aset yang lalai
• pelaburan yang berisiko tinggi dan tidak wajar
• pemberian hibah (dividen) ke atas keuntungan yang palsu dan tidak wujud
• pemalsuan akaun TH untuk menyembunyikan kerugian TH

4. Bilakah masalah ini mula dikesan?
Mantan Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz pernah menulis surat kepada Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada 23 Disember 2015 untuk memberi amaran bahawa TH mengalami masalah kekurangan aset. Walau bagaimanapun, Kerajaan BN tidak mengambil iktibar daripada amaran tersebut dan terus membenarkan TH membayar hibah (dividen) yang tinggi, walaupun keuntungannya tidak mencukupi.

5. Kenapa TH di bawah BN dapat memberi hibah (dividen) yang tinggi?
BN berjaya menipu rakyat dengan bayaran hibah yang tinggi dan tidak mampan dengan:
• Memanipulasi piawaian perakaunan TH
• Memalsukan kedudukan akaun sebenar TH

6. Bagaimanakah akaun TH dipalsukan?
Menurut standard laporan kewangan atau financial reporting standard (FRS), sesebuah syarikat harus mengisytiharkan kerugian jika nilai saham yang dibeli jatuh 20% berbanding kos belian asal secara berterusan dalam tempoh 9 hingga 12 bulan. Ambang 20% adalah piawaian biasa yang digunakan di pasaran. Akan tetapi, TH telah menetapkan bahawa nilai saham harus jatuh 70% berbanding kos belian asal untuk tempoh 24 bulan sebelum kerugian disahkan. Malahan, ambang 70% ini kemudiannya telah diubah kepada 85% dan selepas itu kepada 90% oleh Lembaga Pengarah TH dengan kelulusan Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada tahun 2017.

7. Apakah sebab akaun TH dipalsukan?
Akaun TH dipalsukan supaya rakyat akan terus tertipu untuk memberikan sokongan kepada BN. Jika akaun sebenar TH disahkan dan pembayaran hibah tidak dibuat, BN bimbang ia akan kehilangan sokongan masyarakat Islam dan Melayu dalam pilihanraya yang menjelang tiba.

8. Mengapakah kerajaan Pakatan Harapan (PH) membongkarkan skandal ini?
Kerajaan PH terpaksa membongkarkan skandal ini kerana agama Islam mewajibkan langkah-langkah untuk menegakkan kebenaran dan membetulkan kesalahan seperti yang difirmankan di dalah Surah Al-Maidah seperti berikut:
‘Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekalikali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.’ (Surah Al-Maidah 5:8)

Islam mengharamkan penipuan dan keuntungan yang berdasarkan penipuan seperti yang difirmankan di dalah Surah Al-Nisa’ seperti berikut:
‘Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.’ (Surah Al-Nisa’ 4:29)

9. Siapakah ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan tertinggi utama semasa zaman pemerintahan BN?
Berdasarkan kepada Laporan Tahunan TH 2016, Lembaga Pengarah yang lama terdiri daripada:

  • Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim, Pengerusi, Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO
  • Datuk Seri Johan Abdullah, Bekas Pengarah Urusan Kumpulan dan CEO TH
  • Tan Sri Othman Mahmood, Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri
  • Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan
  • Prof Emeritus Tan Sri Dato’ Dr Abdul Shukor Husin
  • Tan Sri Dato’ Paduka Badruddin Amiruldin, Pengerusi Tetap UMNO
  • Tan Sri Datuk Mohamad Aziz, Timbalan Pengerusi Tetap UMNO
  • Tan Sri Shukry Mohd Salleh, Ketua Setiausaha Sulit kepada Mantan Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak
  • Tan Sir Dato’ Sri Mohamed Apandi Ali, Bekas Peguam Negara
  • Datuk Rosni Sohar, Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO

Ahli Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan tertinggi lama telah meletakkan jawatan mereka. Ahli lembaga dan pengurusan baharu telah dilantik daripada golongan profesional dan bukan politik untuk memulihkan TH.

10. Apakah tindakan yang telah diambil ke atas Lembaga Pengarah dan pengurusan TH semasa pemerintahan BN?
Lembaga Pengarah TH baharu telah membuat laporan polis dan Suruhanjaya Perkhidmatan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap ahli lembaga pengarah dan pengurusan lama. Laporan pertama melibatkan Program Yayasan Tabung Haji (YTH) 2017, di mana dana berjumlah lebih daripada RM22.0 juta telah dikeluarkan untuk aktiviti yang mempunyai kecenderungan politik. Ia bertentangan dengan Memorandum dan Artikel Persatuan YTH.

Laporan kedua dibuat ke atas Tan Sri Ismee, Hazlina and Rifina berhubung dengan salah nyata dan penyembunyian maklumat penting yang melibatkan penjualan saham TH dalam tahun 2012 sebanyak 95% dalam PT TH Indo Plantations yang dipegang oleh dua anak syarikatnya, iaitu TH Indopalms Sdn Bhd (THI) dan TH Indo Industries Sdn Bhd (THII) kepada PT Borneo Pacific (PT Borneo) dengan harga AS$910 juta. Laporan ketiga dibuat pada bulan Januari 2019 berhubung dengan akaun kewangan TH
bagi tahun berakhir 31 Disember 2017 (FY17). Laporan ini melibatkan pembentangan laporan kewangan oleh bekas para eksekutif utama TH sehingga berjaya mengisytiharkan hibah walaupun keuntungan tidak mencukupi, bertentangan dengan Akta Tabung Haji 1995. Pihak polis sedang membuat siasatan mengikut Seksyen 420 dan 409 Kanun Keseksaan kerana menipu. Selain itu, SPRM juga sedang menyiasat ahli lembaga pengarah dan pengurusan yang lama. Lebih banyak laporan polis akan dibuat pada masa hadapan berkaitan dengan kerugian yang dialami oleh TH.

C: SEBAB TH PERLU DISELAMATKAN DAN CARA PENYELAMATAN

11. Kenapa TH perlu diselamatkan?
Jika TH tidak diselamatkan, tiada hibah akan dapat dibayar untuk tahun-tahun yang akan datang oleh kerana kekurangan aset yang serius.

12. Bagaimanakah Kerajaan Pakatan Harapan sedang menyelamatkan Tabung Haji?
i. Kerajaan menerusi sebuah syarikat tujuan khas atau special purpose vehicle (SPV), iaitu Urus Jamaah Sdn Bhd (UJSB), membeli aset TH yang kini bernilai hanya RM9.7 bilion dengan harga yang lebih tinggi pada RM19.9 bilion.

ii. Pembayaran RM19.9 bilion ini terdiri daripada:
a. RM10.0 bilion dalam bentuk sukuk berkupon sifar dengan pulangan 4.05% setahun bertempoh 7 tahun
b. RM9.6 bilion dalam bentuk sukuk berkupon sifar dengan pulangan 4.10% setahun bertempoh 10 tahun
c. RM0.3 bilion dalam bentuk bayaran tunai yang dijana menerusi aset RM9.7 bilion yang telah dijual kepada SPV (dividen dan sewa yang diperolehi).

iii. Dengan penerimaan aset-aset bernilai RM19.9 bilion, nilai aset TH akan bertambah dan melebihi liabilitinya sambil mematuhi piawaian yang sepatutnya.

iv. Dengan peningkatan nilai asetnya, TH akan terus mampu membayar hibah menurut keuntungan yang diperolehi pada masa depan. Dengan kata lain, Kerajaan akan menanggung beban kewangan sebanyak RM19.6 bilion untuk menyelamatkan TH. Kos yang akan ditanggung oleh Kerajaan ke atas sukuk bernilai RM19.6 bilion tersebut dianggarkan sebanyak RM7.9 bilion, dan ini juga akan dibiayai oleh Kerajaan. Ini menjadikan tanggungan kasar Kerajaan untuk menyelamatkan TH sebanyak RM27.5 bilion yang disandarkan kepada aset bernilai RM9.7 bilion. Selepas menolak nilai aset sebanyak RM9.7 bilion, Kerajaan akan membuat suntikan dana bersih sebanyak RM17.8 bilion ke dalam TH yang akan dibayar dalam tempoh 10 tahun.

JADUAL 2: KOS PENYELAMATAN TH YANG DITANGGUNG OLEH KERAJAAN
Perkara | Nilai (RM bilion)
Sukuk | 19.6
Pulangan kepada sukuk | 7.9
Jumlah tanggungan kasar Kerajaan | 27.5
Aset yang dipindahkan kepada UJSB daripada TH | (9.7)
Tanggungan bersih Kerajaan | 17.8

13. Bagaimanakah tanggungan kos penyelamatan TH akan dibiayai oleh Kerajaan?
Suntikan dana bersih sejumlah RM17.8 bilion ke dalam TH akan dibiayai oleh Kerajaan dalam tempoh 10 tahun, iaitu dari tahun 2020 sehingga tahun 2030.

D: PERANAN JPM, MOF, BNM DAN SPV KERAJAAN

14. Apakah peranan Jabatan Perdana Menteri dalam penyelamatan TH?
Jabatan Perdana Menteri, secara khususnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, bertanggungjawab ke atas tata urus dan prestasi TH. Oleh itu, JPM mengetuai proses penyelamatan ini.

15. Apakah peranan MOF?
MOF menjalankan arahan yang diberikan oleh JPM serta menyediakan dana yang diperlukan untuk menjayakan proses penyelamatan TH. MOF juga telah membentuk SPV milik penuh Kerajaan yang dinamakan Urus Jamaah Sdn Bhd (UJSB) bagi menerbitkan sukuk yang digunakan untuk membeli aset daripada TH dengan harga yang lebih tinggi berbanding harga pasaran. Semua ahli Lembaga Pengarah
dan pengurusan UJSB terdiri daripada orang Islam.

16. Siapakah Urus Jamaah Sdn Bhd (UJSB)?
UJSB adalah SPV milik penuh Kerajaan yang ditubuhkan bagi menyelamatkan TH.

17. Siapakah Ketua Pegawai Eksekutif Urus Jamaah Sdn Bhd (UJSB)?
Ketua Pegawai Eksekutif UJSB adalah Encik Izad Shahadi bin Mohd Sallehuddin. Beliau berkelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada University of Nottingham dan Sarjana Muda Ekonomi daripada London School of Economics. Beliau merupakan Pengurus Besar Prokhas Sdn Bhd dan sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Head of Dealing, Equity Sales and Trading Division di Citigroup Global Markets Sdn Bhd selama 3 tahun. Beliau juga pernah berkhidmat di UBS Securities Malaysia Sdn Bhd selama 10 tahun dengan jawatan terakhir sebagai Director Equity Sales and Trading.

18. Siapakah lembaga pengarah UJSB?
Lembaga Pengarah UJSB dianggotai oleh:

  • Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir, Ketua Setiausaha Perbendaharaan
  • Datin Rashidah Mohd Sies, Setiausaha Bahagian GIC, Kementerian Kewangan
  • Mohd Sukri Hussin, Pengarah Pelaburan Hartanah Bumiputera Berhad
  • Mohd Hassan Ahmad, Timbalan Ketua Ekonomi (Dasar Fiskal), Kementerian Kewangan
  • Imri Dolhari Ab Wahab, Ketua Seksyen Bahagian Fiskal dan Ekonomi, Kementerian Kewangan

19. Apakah peranan BNM dalam penyelamatan TH?
Bank Negara Malaysia berperanan sebagai penguatkuasa peraturan ke atas TH bagi memastikan segala piawaian dipatuhi dan supaya TH berfungsi secara profesional tanpa campur tangan politik. Penguatkuasaan BNM juga diperlukan supaya tiada kesalahan yang sama berulang lagi di masa hadapan.
Bank Negara Malaysia adalah badan berkanun yang berwibawa dan bebas daripada campur tangan Kerajaan.

 216 Total Page Views,  1 Views Today

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button